See Me!

Showing posts with label jeddah. Show all posts
Showing posts with label jeddah. Show all posts

Monday, 2 September 2024

Perjalanan Umrah Pertamaku 11 - 20 April 2024 | 2 Syawal 1445H (Part 2 - Mekkah)

 

 Assalamualaikum & Salam Sejahtera

 
Aktiviti Sepanjang Di Mekkah 14 April 2024 - 20 April 024 


 
Aktiviti 14 April 2024
Saya telah kongsikan Coretan pengalaman Umrah Pertamaku Part 1 - Madinah saya semasa di Madinah, yang mana anda boleh  klik di link ini >>> Umrahku Part 1 - Madinah
 
Setelah kami check-out dari Al Ruve Hotel, Madinah dan siap siap memakai ihram (pastikan anda patuh larangan setelah memakai ihram untuk mengerjakan umrah. Kami tempah grabcar dari hotel ke Madinah Highspeed Train Station yang mengambil masa lebih kurang 10 minit perjalanan. Setibanya disana kami check-in, menunggu dan makan di HHR lounge yang disediakan (sebab saya beli tiket pakej Business - harga masa beli SAR 380++) sementara menunggu HHR train sampai.
 
Ini View makan do HHR lounge dan ruang untuk naik HHR train

 
Apabila train sudah ready untuk bergerak menuju ke Mekkah, kami pun masuk ke dalam train dan duduk di tempat yang telah ditempah. Apabila train mula bergerak dan alert pada paparan di skrin untuk berniat Miqat di dalam train bagi menuju ke Stesyen HHR Mekah (pada ketika ini anda sudah terikat dengan pantang larang umrah yang telah anda pelajari sehingga selesai mengerjakan umrah anda). Didalam train kami di hidangkan makanan mengikut pakej tempat duduk yang telah dibeli sebelum ini jika ada dan anda sudah boleh mula bertalbiah hingga di sepanjang perjalanan menuju ke Mekkah.

Ini view dalam HHR train dan dalam HHR

Setibanya di Stesyen HHR Mekkah  dari Madinah dalam jarak lebih kurang 400km++.  Kami terus keluar dari pintu masuk utama stesen dan terus mencari kereta sewa di bahagian bawah stesyen HHR tadi, tidak jauh pun berjalan ke tempat untuk cari kereta sewa ke Masjidil Haram/ Hotel. Di situ banyak sahaja kenderaan sewa menunggu mengambil penumpang, cuma perlu pandai pilih dan bersesuaian dengan harga yang anda mahukan, boleh juga order secara online seperti menggunakan apps Careem (entahlah bagi saya apps  ni tak begitu popular di Mekkah dan macam tak boleh percaya 100% penggunaannya, ini berdasarkan pengalaman saya). Disebabkan tunggu lama booking dari apps careem lambat sangat, kami terus grab kereta sewa yang sedang tunggu disitu yang mana kami berdua kena caj  70 riyal sahaja  ke Hotel di Masjidilharam setelah berunding harga.
 
View dari bilik Hotel ke Masjidil Al-Haram

 
Selepas check-in hotel di Al-Safwa Royale Orchid, kami terus solat zohor dan jamak dengan asar di bilik dan terus bersiap untuk menuju ke Mataf pada sekitar pukul 4.00pm untuk melakukan umrah dengan memasuki kawasan Masjidilharam untuk memulakan tawaf dengan mengelilingi kaabah sebanyak 7 pusingan (waktu ini suhu memang tinggilah dalam 40 darjah celcius ++ la, so kami pergi juga sebab kami lihat kawasan mataf dari hotel kami agak lenggang untuk lakukan tawaf. So, bermula dari menuju ke kawasan Mataf mulalah lakukan semua perkara wajib/ rukun umrah yang telah anda pelajari serta yakin dan digalakkan melakukan perkara - perkara sunat yang telah anda pelajari sebelum ini jika ingin mendapat pahala yang banyak. Islam itu Mudah, so, lakulah ikut kemampuan dan pemahaman anda yang penting semua wajib/ rukun perlu anda patuhi  ye.
 
 
View selepas selesai buat tawaf umrah dan pemandangan berlatarbelakangkan hotelku

Semasa tawaf,  janganlah anda menyentuh atau mencium kaabah bagi mengelakkan anda melanggar perkara wajib/ rukun umrah. Sesudah tawaf  mengelilingi kaabah sebanyak 7 pusingan, kami terus melakukan solat sunat di belakang makam Ibrahim dan berdoa. Selepas itu, kami terus menuju ke bukit Safa berdekatan Kaabah dari Makam Ibrahim tadi bagi melakukan sai'e sebanyak 7 pusingan dari Safa ke Marwah (tamat pusingan di Marwah) sehingga bertahlul selepas melengkapkan 7 pusingan (bercukur) dengan mengikut tertib. So, kami selesai mengerjakan umrah pertamaku yang wajib sekitar 6.30pm (waktu Arab Saudi, yang mana waktu Malaysia pukul 11.30 malam), selepas itu, kami membotakkan kepala di kedai barber di dalam Safwa Tower yang mana caj SAR51 untuk dua orang, mahal juga la.
 
 
View Kasawan untuk Saie dari Bukit Safa ke Marwah

 
Aktiviti 15 April 2024
Pada tarikh ini, aktivitiku hanya melakukan solat 5 waktu dengan menghadap Kaabah setiap waktu dan beriktikaf di dalam Masjidilharam. Selain itu, saya turut melakukan tawaf sunat mengelilingi kaabah setiap hari selepas subuh sepanjang kami berada di Mekkah yang selalunya melakukan tawaf sunat di tingkat satu (sebab memakai pakaian biasa, jika pakai ihram boleh tawaf di kawasan mataf) dan pernah kami juga mencuba  menggunakan perkhidmatan scooter di tingkat 2 yang mana bayaran dalam SAR57.50++ seorang bagi  melakukan tawaf sunat .
Tempat ambil dan bawa scooter untuk tawaf sunat setelah bayar


Aktiviti 16 April 2024
Pada tarikh ini, aktivitiku pergi menunaikan solat 5 waktu dan beriktikaf di dalam Masjidilharam hampir setiap waktu. Istimewanya pada tarikh ini adalah, selain berniat mengerjakan umrah wajib bagi diriku, tetapi turut berniat untuk melakukan badal umrah buat arwah ibuku, moga semua amal ibadah ini diterima Allah s.w.t. 
 
View Selepas Solat Subuh di Masjidil al-Haram

 
Selepas sarapan pagi, mandi dan solat sunat, kami menuju mencari teksi sewa berdekatan hotel kami (sangat dekat dan mudah) bagi membawa kami untuk niat Miqat bagi Badal Umrah buat Ibuku di Masjid Aisyah/ Masjid Al - Taneem yang mana caj pergi balik adalah SAR 70  lebih kurang 10km++ jaraknya dari Masjidilharam (kami guna teksi berwarna hijau, pastikan anda hafal no plat dan ingat teksi tunggu dimana ye).

Kami Niat Miqat di Masjid Aisyah, melalukan solat sunat di dalam masjid tersebut dan kemudian pergi semula ke teksi untuk balik semula ke Masjidilharam untuk mengerjakan dan melengkapkan Badal Umrah buat ibuku bermula dari Niat di Miqat, Tawaf 7 pusingan mengelilingi Kaabah, Tawaf 7 pusingan dari Safa ke Marwah dan bertahalul sehingga selesai semua rukun/ wajib umrah. Ak raya lapang, bahagian dan bersyukur dapat melakukan Badal Umrah Untuk Arwah Ibuku, hiba rasa hati tidak dapat digambarkan, bergenang air mata serta menahan rindu kepada arwah Ibuku.

Inilah tempat Niat Miqat, Masjid Aisyah bagi mengerjakan Badal Umrah Ibuku



Selepas selesai melakukan Badal umrah buat arwah, kami solat di Masjidharam seperti biasa dan jika ada kelapangan masa kami makan di kawasanan Safwa Tower, di bilik atau di dalam Clock Tower berdekatan hotel kami.
 
Aktiviti 17 April 2024
Pada tarikh ini, selepas solat subuh di Masjidil al-haram, tawaf sunat dan sarapan pagi, kami mula melakukan ziarah di kawasan mekkah yang mana menggunakan perkhidmatan mutawwif yang sahabatku pernah guna sebelum ini. Kos untuk caj pengangkutan dan mutawwif adalah lebih kurang SAR500 termasuk semua (mutawwif dari indonesia). Kawasan yang kami ziarah kawasan Jabal Tsur,muzdalifah, mina, Jabal Ar- Rahmah, Arafah, Jabal Qurban, Kawasan Gua Hira', Jamarat dan banyak lagi.

Ini antara gambar - gambar tempat ziarah


Setelah pulang kami sambung solat di Masjidil Al-Haram dan juga mula membeli oleh - oleh untuk keluarga di dalam Safwa Tower di bangunan yang sama dengan hotel yang kami menginap (banyak kedai makanan dan oleh-oleh termasuk kedai maknan Malaysia).
 
Aktiviti 18 April 2024
Pada tarikh ini, aku sendirian berbekalkan tawakal kepada Allah s.w.t masuk ke kawasan Mataf (kaabah) selepas solat subuh dan memakai ihram bagi memunihi hajatku untuk mencium hajarul aswad (penguasa disana hanya membenarkan mereka yang memakai ihram sahaja masuk ke kawasan mataf) untuk melakukan tawaf sunat mengeliling kaabah. Pada masa ini, diri ini berhajat sangat untuk mencium hajarul aswad, menyentuh makam ibrahim dan melakukan perkara yang semasa tawaf wajib umrah tidak boleh dilakukan bagi mengelakkan dikenakan dam. Apa yang aku ketahui kita boleh menyentuh kaabah jika selepas selesai melengkapkan semua rukun/ wajib umrah.

View berdekatan Dataran Masjidil Al-Haram


So, bermulalah aku melakukan tawaf mengeliling kaabah beberapa pusingan, dalam pusingan yang terakhir aku cuba menghampiri sedikit demi sedikit kawasan keliling kaabah yang mana bermula dari rukun yamani sehingga ke hajarul aswad ( ujian disini sangat hebat, terutama anda akan merasa pengalaman dihimpit dan diasak pelbagai orang yang ingin mencium hajarul aswad, anda perlu berusaha, berdoa, redha dan tawakal). 
 
Di sepanjang tempat mula dari rukun yamani dapatlah menyentuh di sepanjang laluan itu menuju hajarul aswad. Ku kongsikan pengalamanku bukan untuk riak sebagai persediaan kepada semua yang berhajat mencium hajarul aswad, aku dengan berhemat masuk ke kawasan rukun yamani untuk mula dari laluan itu bagi memudahkan untuk menuju hajarul aswad, mula - mula ramai juga mengasak dan berebut, aku just rilek ikut sahaja laluan itu, yang paling best aku ditolak menuju ke hajarul aswad tapi rasa sesak juga nafas sebab yang asak badan besar, aku nie kecil jer orangnyer. Best punya cerita, aku pon di ditolak sehinggalah ke hajarul aswad, dan terus dapat menciumnya, lama juga dapat cium dan berdoa semasa mencium hajarul aswad dan kemudian berdoa berdekatan multazam ( harap semua hajat dan doaku dimakbulkan, amin). Anda akan jumpa macam - macam perangai manusia di kawasan kaabah, disinilah tahap kesabaran anda diuji, sesiapa yang berjaya mengawalnya, Insyallah urusan anda dipermudahkan dengan Izin-NYA.

Kemudian, selepas semua hajatku tercapai dan tawaf sunat selesai, aku pun pergi melakukan solat sunat di belakang makam ibrahim. Kemudian, aku pergi mendapatkan cenderahati Al Quran di Masjidil Al - Haram, yang mana boleh ambil secara percuma melalui pintu 81/82/83. Selain itu, Sempat juga berkongsi momen dengan adik beradiku di depan Kaabah. Syukur. Akhir sekali, balik Sararan pagi di Al Safwa Royale Orchid sambil menghadap dataran Masjidil Al - Haram.
 
Makan selepas tawaf sunat

 
Selain solat dan beribadah, sempat  juga mencuba Arabic fastfood iaitu Al-Baik berdekatan shopping mall berdekatan Jabar Omar (tidak ingat nama) sambil jalan - jalan kawasan berdekatan Masjidil Al-haram. Di dalam Clock Tower banyak juga kedai makan yang menarik di tingkat atas dan selesa.

Dapatlah merasa makan di Al-Baik ni, biasa-bisa jer


 
Aktiviti 19 - 20 April 2024
Pada tarikh ini, macam biasa menunaikan solat dan tawaf sunat di Masjidil Al-Haram. Istimewanya tarikh 19 April 2024 (Jumaat), kami dapat mengerjakan sembahyang Jumaat pula di Masjidil Al-haram sambil berkiblatkan di depan Kaabah, bertuahnya diri ini, Syukur Alhamdulillah semua urusan Ibadah  di permudahkan semasa berada di Madinah dan Mekkah.

View Waktu Subuh berekatan Masjidil Al-Haram

Ini view dari hotelku untuk masuk ke kawsan solat di Masjidil Al-Haram dan sekitar Ajyad


Selepas solat jumaat di Masjidil Al-haram, kami membuat shopping terakhir di kawasan Safwa Tower dan di Clock Tower untuk membeli oleh - oleh untuk keluarga seperti coklat, kurma, jubah dan lain - lain (banyak juga berbelanja dalam SAR1000++, so anda belanjalah ikut kemampuan ye, macam saya banyak nak memberi sedekah sebab dah niat awal).

Pada pagi 20 April 2024, kami solat suboh macam biasa, sarapan dan menutup umruhku di Mekkah dengan membuat tawaf wada' dengan siap berpakaian ihram untuk melakukan tawaf di kawasan kaabah. Selepas itu, kami bersiap dan menunggu kereta sewa yang telah ditempah di hotel untuk membawa kami menuju ke Airport Jeddah untuk pulang ke Malaysia yang mana caj adalah SAR250 yang mana jarak perjalanan dalam 1 jam 30 Minit++ dari Masjidil Al-Haram mengikut aliran trafik semasa.

Setibanya kami tiba di Airport Jeddah, solat di surau airport sementara menunggu waktu untuk check-in. Selepas dibenarkan check-in, kami terus masuk kawasan pelepasan yang mana kami menaiki keretapi khas bagi membawa kami menuju ke terminal pelepasan antarabangsa.
 
 
Disinilah beli air zam zam di luar Airport Jeddah, caj SAR12.50 (kena tunjuk passport ye)

Tiba di terminal pelepasan, kami makan duhulu di flight longue sementara flight ready (ikut pakej flight yang anda beli ye). Kemudian, kami bergerak menunggu di gate pelepasan dan flight kami berlepas sekitar 7.00 petang dari Jeddah sedikit lewat ( waktu Arab Saudi), So, Solatlah maghrib dan Isyak dalam kapal terbang secara musafir.

Gambaran di Airport Jeddah

Gambaran lounge Tempat Makan di Airport ini, Tempat menuggu train ke terminal pelepasan antarabangsa dan ruang legar dalam Airport Jeddah

 
Inilah kapal terbangku dan makanan time balik ke Malaysia

 
Alhamdulilillah, lebih kurang 9 jam perjalanan di udara, kami selamat sampai di tanah air Malaysia pada keesokan harinya iaitu 21 April 2024 sekitar 9.00 pagi (waktu malaysia) dan aku terus pergi menziarah kubur Arwah Ibuku😓😓😓. 

Setakat ini sahaja perkongsian umrahku secara DIY sebagai panduan bagi mereka yang pertama kali melakukam umrah. Semoga perkongsian kali ini bermanafaat. 
 
Sekian.

 

Tuesday, 27 August 2024

Perjalanan Umrah Pertamaku 11 - 20 April 2024 | 2 Syawal 1445H (Part 1 - Madinah)

 Assalamualaikum & Salam Sejahtera

 
Coretan ini hanyalah perkongsian ilmu dan pengalamanku sahaja iaitu; Pada tanggal 11- 20 April 2022 | 2 Syawal 1445H, hari paling bersejarah dalam hidupku, dimana bermulalah perjalanan buat kali pertama ke Tanah Suci Mekkah bagi mengerjakan Ibadah Umrah pertamaku secara DIY  dan berniat juga mebuat Badal Umrah buat arwah ibuku yang mana saya pergi bersama sahabatku untuk mengerjakan umrah kali pertama ini.

Disinilah tujuanku...

Ada sebab kenapa Tuhan melambatkan perjalananku walaupun sudah merancang 2 tahun yang lepas dari coretan ini dibuat. Rupanya tuhan ingin memberiku peluang menjaga, menatap dan menguruskan arwah ibuku sebelum Allah s.w.t. memanggilku untuk menjalani ibadah umrah. Terima kasih Ya Allah s.w.t. kerana permudahkan urusan hamba-MU ini sebelum  dan selepas dalam perjalanan menyahut seruan-MU.

Perasaan aku bercampur baur, sedih, tak percaya, keinsafan, sayu dan bermacam - macam perasaan yang susah untuk ku gambarkan kerana saya macam tidak percaya ini yang tuhan sudah aturkan untuk-ku. Tambahan diri ini dijemput  selepas 5 bulan pemergian arwah ibuku, di bulan yang baik iaitu Bulan Syawal (raya kedua tahun 2024) dan tambahan lagi,  mengerjakan umrah pada minggu dan bulan ulangtahun kelahiranku yang ke- 40 Tahun. Syukur Alhamdulillah Ya allah s.w.t.
 
Semua urusan Umrahku semuanya diuruskan olehku dan juga sahabatku yang mana bajet bergantung kepada anda perlu diurus ikut bajet kemampuan anda. Semua perancangan kami buat sendiri dari tempah hotel, kapal terbang dan lain - lain, saya tempah tiga minggu sebelum pergi mengerjakan umrah dan telah menghadiri kursus umrah sebelum ini. Ini perkara yang dilakukan sebelum berangkat mengerjakan umrah:
  • Membuaat passport bagi yang belum ada passport atau sudah tamat rempoh (harga RM200 jer)
  • Tempah flight (ikut bajet anda) - macam saya naik Malaysia Airline under Amal
  • Menempah hotel di Booking.com, yang mana Penginapan di Mekah kami tempah di Al Safwa Royale Orchid (Jarak 50m ke Masjidil Al Haram) dan di Madinah kami menginap di Ruve Al Madinah Hotel (lebih kurang Jarak 300m ke Masjid Nabawi) siap breakfast.
  • Buat Visa Pelancong secara online di >>> https://visa.visitsaudi.com/Login (caj buat visa 488.51 SAR ini adalah harga ketika saya pergi) dengan insurans - proses sangat mudah dan cepat.
  • Belilah insurans travel tambahan jika perlu, macam saya beli travel insurance dengan Etiqa pakej VIP berharga lebih kurang RM80++)
  • Beli tiket Highspeed Train secara online  dari Madinah ke Mekkah ( Caj 380.56SAR - harga untuk Business Class) - niat dalam train selepas lebih kurang 10min train bergerak atau dengan makluman di skrin paparan.
  • Belilah barang kelengkapan umrah seperti ihram (saya bawa 1 pasang jer), beg uncang kasut, pakaian, tali pinggang ihram, cawat ihram bagi lelaki yang nak pakai (pastikan semua perkakasan untuk umrah tidak berjahit dan mengikut syarat sah umrah) dan barang - barang yang berkenaan.
  • Pergilah kursus umrah, belajar online dan sebagainya untuk persediaan dan tambah ilmu.
  • Aktifkan roaming (macam saya guna roaming digi subscribe sebulan punya pakej berharga RM98) - pastikan bil sudah bayar dan limit anda cukup selepas subcribe roaming jika menghampiri due date untuk billing circle date sebelum bertolak untuk elak kena sekat disana.
  • Pastikan anda tukar duit riyal secukupnya untuk keperluan anda (seingat saya tukar 1500 riyal sahaja), yang lain saya standby kad kredit dan aktifkan kad debit untuk penggunaan luar negara.
 
Berikut tentatif perjalanan umrahku di Madinah dan Mekkah iaitu di Madinah 11 April 2024 - 14 April 2024 saya kongsikan secara ringkas sebagai panduan dan sumber panduan:

Bermulahlah perjalanan kami dari sini....


11 April 2024, Setibanya di airport kami terus buka apps NUSUK untuk tempah slot Masuk ke Rawda ikut slot yang kita ingin. Kami berjaya tempah slot setiba di Arab Saudi, anda boleh cuba tempah di Malaysia jika ada rezeki, tetapi rezeki kami dapat tempah slot rawda setibanya di Arab saudi. Syukur Alhamdulillah, dapat tempah slot 13 April 2024; 2.30am, seronok dapat tempah dan masuk rawda pada hari ulangtahun kelahiranku. Syukur Alhamdulillah, Tak sabarnya...
 
 
Alhamdulillah dapat book time besdayku

 
Inilah Flight kami under Amal Malaysia Airline dengan Hospitaliti yang Cemerlang, Yang best tak ramai pun orang dalam flight masa kami pergi

Kami tiba di Airport Madinah jam 2.30pm waktu Arab Saudi yang mana waktunya lewat 5 jam dari Malaysia (lebih kurang 9 jam perjalanan dari KLIA, Kuala Lumpur). Kami tempah kereta sewa menggunakan apps Careem dari airport ke hotel (lebih kurang 50 riyal++) yang mengambil masa dalam 30minit.
 
Kami tiba di Airport Madinah, Rasa Tidak Percaya Menyelubungi dengan rasa kesyukuran
 
Selepas check-in di hotel iaitu di Ruve Al Madinah Hotel, kami terus ke masjid Nabawi untuk solat jalan dalam 5-10minit, dan selepas isyak kami pergi menziarah makam Rasullulah dan Makam Sahabat Nabi berdekatan Masjid Nabawi.
 
Inilah hotel kami menginap untuk 3 malam, 11-14 April 2024

 
Pada keesokan harinya iaitu 12 April 2024, kami menjalani rutin solat di Masjid  Nabawi, balik ke hotel untuk sarapan selepas solat suboh. Selepas sarapan kami tempah bus Hop On Hop Off (caj 80 riyal seorang) berdekatan dengan hotel kami untuk pergi ziarah antaranya pergi Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan sebagainya. So, untuk dapat pahala yang banyak berwuduk la sebelum pergi untuk solat di Masjid Quba yang pahalanya sangatlah besar. Masa di Madinah banyak kami habiskan masa untuk beriktikaf di Masjid, beribadah dan tidak banyak berjalan sangat mahupun shopping.

Keesokkan harinya 13 April 2024 (Jumaat), Inilah hari yang palingku dambakan iaitu bersolat dan berdoa di dalam Rawda/ taman syurga (tempat dimana doa kita akan dimakbulkan, Insyallah). Kami datang awal dan beratur sebelum dibenarkan masuk oleh petugas (pastikan sudah book slot dan datang pada slotnya sahaja ye). Rasa macam-macam perasaan seronok, terkesima, terharu, macam tak percaya pon ada sebab tak pernah tergambar urusanku sangat dimudahkan sepanjang berada disini, fikiran lapang, hati tenang, tak lapar dan tak ingat pun hal - hal dunia ( ini perasaan yang ingin saya kongsikan yang saya rasakan sepanjang berada disana) , rasa nak datang lagi. Insyallah dengan Izin-NYA.

Untuk masuk dalam rawda, jemaah lelaki akan masuk dari pintu 39. Selepas dilepaskan masuk oleh petugas, mereka akan imbas QR code di apps NUSUK, kita akan beratur masuk untuk masuk (yang mana  ketika kami pergi ada 3 checkpoint kena lepas), kemudian kami ditempat di satu kawasan menunggu sebelum dibenarkan masuk ke dalam rawda, anda akan diberi air zam zam dan plastik beg oleh petugas, dalam 30 minit juga tunggu giliran untuk masuk ruang solat di rawda.
 
Akhirnya, tiba giliran kumpulan slot kami masuk, semua berpusu-pusu masuk, tetapi aku dan sahabatku jalan macam biasa supaya niat kami tidak tersasar. Kami solat betul - betul sebelah Makam Rasullullah, Syukur Alhamdulillah. Kami pun buat macam - macam solat selagi boleh antaranya solat tahajud,  solat taubat, solat hajat, berdoa sesungguhnya dan sebagainya ikut keutamaan anda janji semua yang dingini tercapai untuk dilakukan kerana masa diberikan masa sangat singkat dalam 15 minit jer kot, selepas itu petugas akan minta kita keluar walaupun kita tengah solat.... So, alhamdulillah semua solat, berdoa dan semua yang aku ingini  tercapai buat semuanya... dapatlah bergambar kenangan sedikit untuk merawat rindu ke tempat ini nanti.

Inilah gambar kenangan bermulalah dari tempat kami dikumpulkan, masuk dari pintu no. 39 kami dibenarkan masuk dan ruang solat dalam rawda


Selepas itu, kami solat subuh di Masjid Nabawi dan menziarah perkuburan Baqi dimana antara sahabat - sahabat nabi dimakamkan. Kemudian, kami balik hotel untuk sarapan dan kemudian pergi lagi ke Masjid Quba untuk solat disana untuk mengejar pahala solat disana. 
 
Dipintu 338 inilah kami selalu masuk ke Masjid menuju ruang solat dari pintu nombor 21/22 dari Hotel, Inilah gambaran dalam Masjid Nabawi

Selepas balik dari Masjid Quba, kami bersiap ke Masjid Nabawi untuk solat Jumaat disana. Selepas itu asar hingga isya' kami ke Masjid Nabawi lagi untuk  beriktikaf,  bersolat dan menghabiskan masa di masjid. Kami adalah cuba cari - cari makan dan shopping sedikit di kawasan hotel kami sahaja sebab fokus untuk beribadah. 

Bergambar kenangan di depan Masjid Quba

Inilah Tempat-tempat yang kami sempat ziarah menggunakan perkhidmatan Bas Hop On Hop Off

 
14 April 2024, Kami pergi solat di Masjid Nabawi dan ziarah Makam Rasulluh untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum bergerak ke Mekah menaiki keretapi laju HHR. Kemudian bersiap, mandi, memakai pakaian ihram , solat sunat ihram sebelum ke stesen Keretapi.
Alhamdulillah, bergambar sekejap selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi
Disinilah laluan untuk kami membuat ziarah selamat datang dan selamat tinggal di Makam Rasulullah dan Para Sahabat


Alhamdulillah semua yang di hajati tercapai dilakukan dengan izin-NYA sepanjang di Madinah.
 
Inilah Pengangkutan kami dari Madinah ke Mekkah dengan menaiki Highspeed Train

 
Kita sampung topik perjalanan umrah pertamaku di bahagian dua nanti untuk aktiviti di Mekkah pula klik lin ini  untuk membacanya >>> Umrah Pertamaku Part 2 - Mekkah.
 
 Sekian.

Recent post

Review Jujur Coklat Vlinder (Arab) an Chocolala

    Assalamualaikum & Salam Sejahtera   Blog kali ini saya ingin berkongsi pengalaman merasai coklat mahal dari Arab dan Dubai iaitu cok...